Perjalanan pulang dari sekolah seorang murid Tahun Empat berakhir dengan tragedi apabila Putri Nur Aishah Abdullah, 10, maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama datuk terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kubang Kerian, Kelantan.

Mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang Isnin selepas dirawat selama sehari akibat kecederaan parah dan kehilangan banyak darah.

Pulang Dari Sekolah, Murid Tahun Empat Maut Selepas Motosikal Bergesel Dengan Lori

Menurut ibunya, Nadja Aida Natasha Mohd Noor, 30, kejadian berlaku sekitar jam 3.20 petang ketika Putri Nur Aishah bersama datuknya, Bakri Daud, 61, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Chica selepas makan.

Motosikal dinaiki mereka bergesel dengan lori yang bergerak dari arah sama berhampiran persimpangan lampu isyarat sebelum kedua-duanya terjatuh. Bakri hanya mengalami kecederaan ringan selepas terjatuh ke sebelah kiri, manakala Putri Nur Aishah terjatuh ke kanan dan digilis lori pada bahagian perut.

Pemandu lori berkenaan kemudian memberhentikan kenderaan selepas menyedari kemalangan tersebut dan mendapati mangsa berada di bawah lori dalam keadaan parah.

Putri Nur Aishah segera dikejarkan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian dan ditempatkan di Zon Merah. Doktor kemudiannya melakukan pembedahan kecemasan untuk memasang besi pada bahagian pinggulnya bagi membantu mengawal pendarahan sebelum mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Bagaimanapun, keadaan Putri Nur Aishah terus merosot kerana mengalami kehilangan darah yang banyak dan pendarahan masih berterusan. Doktor pada awalnya merancang untuk menjalankan pembedahan kedua bagi mencari punca pendarahan pada keesokan harinya. Namun ketika ibunya sedang berbincang dengan doktor, jantung mangsa tiba-tiba terhenti dan dia diberikan bantuan CPR selama kira-kira 15 minit sebelum nadinya kembali.

Keadaan mangsa bagaimanapun semakin lemah sebelum Putri Nur Aishah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang Isnin. Jenazah murid berusia 10 tahun itu kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chicha kira-kira jam 9.30 malam pada hari yang sama.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]