Pihak berkuasa Israel sekali lagi bertindak zalim dengan menyembur bahan kimia toksik dan racun perosak di ladang berhampiran pagar sempadan di timur Bandar Gaza pada Ahad lalu.
Menerusi laporan The Palestinian Information Center, para petani memberitahu bahawa pesawat rejim Israel menyembur bahan perosak di ladang luas berkenaan yang memiliki gandum, barli, jagung dan beberapa jenis tanaman lain.
Tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan para petani mengalami kerugian besar malah hasil tanaman juga terjejas teruk.
Pusat Hak Asasi al-Mezan mengatakan pihak berkuasa Israel sengaja mengambil kesempatan atas krisis global Covid-19 bagi memusnahkan tanaman di sepanjang pagar sempadan di timur Gaza selain penduduk terus dikawal oleh rejim tersebut.
Pusat itu turut menggesa komuniti antarabangsa mengambil langkah untuk menghalang Israel daripada menggunakan bahan toksik yang memusnahkan semua tanaman dan membahayakan nyawa para petani di Gaza.