Selepas berjaya ditemui dalam keadaan selamat, pendaki wanita yang hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, tampil berkongsi pengalaman sepanjang berada di dalam hutan selama hampir dua minggu.
![]()
Jaslinda Dedah Tiada Gangguan Mistik& Bergantung Pada Air, Tiup Wisel Untuk Tarik Perhatian Pasukan SAR
Menurutnya, tiada sebarang kejadian mistik atau gangguan luar biasa berlaku seperti yang didakwa sesetengah pihak di media sosial. Perkara itu dimaklumkan kepada Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi ketika beliau bersama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan melawat Jaslinda di Hospital Tapah pada Isnin.
Difahamkan, keadaan Jaslinda kini semakin baik, ceria dan menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.
![]()
Sepanjang tempoh tersesat, Jaslinda berkata beliau bergantung kepada sumber air untuk meneruskan kelangsungan hidup serta membawa wisel yang sering ditiup bagi menarik perhatian pasukan mencari dan menyelamat (SAR). Walaupun beberapa kali mendengar bunyi helikopter yang terlibat dalam operasi pencarian, beliau tidak dapat melihatnya berikutan keadaan hutan yang tebal.
Jaslinda turut memaklumkan pernah menemui nota yang ditinggalkan pasukan SAR, namun ketika itu beliau berada di laluan yang berbeza daripada kawasan pencarian. Dalam masa sama, Mohd Azlan menafikan dakwaan bahawa Jaslinda hidup dengan memakan cendawan yang ditemui di dalam hutan.
![]()
Sebaliknya, wanita itu hanya mengutip cendawan untuk dibawa pulang sebelum dimaklumkan oleh Orang Asli bahawa ia beracun. Beliau juga mengakui tidak makan selama beberapa hari ketika tersesat dan menjelaskan semua barangan peribadinya masih berada bersamanya sepanjang tempoh tersebut.
Selain itu, dakwaan bahawa botol air dan makanan yang tular di media sosial adalah miliknya turut disahkan tidak benar.
![]()
Mengenai cadangan pemberian insentif kepada pasukan SAR dan komuniti Orang Asli yang membantu operasi pencarian, perkara itu masih belum dibincangkan dan berkemungkinan dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada Rabu ini.
Kredit: Sinar Harian