Sebuah keluarga di Kampung Berangan Enam, Umbai, Merlimau, Melaka ditimpa tragedi apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada awal pagi semalam, mengorbankan lima nyawa.
Tragedi Kebakaran di Melaka: Lima Beranak Maut, Ibu Hamil Antara Korban
Kejadian menyayat hati yang berlaku sekitar jam 1.30 pagi itu meragut nyawa seorang ibu dan empat anaknya, manakala suami mangsa terselamat selepas berjaya dikeluarkan oleh penduduk kampung.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Laila Fathinah Mustapa, 37, bersama anak-anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4. Kesemua mereka ditemukan dalam keadaan rentung di dalam rumah.
Lebih memilukan, ibu mangsa, Ruziha Osman, mendedahkan bahawa Laila sedang hamil lima bulan ketika kejadian berlaku. Ruziha berkata, beberapa jam sebelum kebakaran, dia baru sahaja menghantar anak dan cucunya pulang ke rumah mereka dari Puchong, Selangor tanpa menyangka itu adalah pertemuan terakhir mereka.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, masih ceria dan bergurau seperti biasa. Saya langsung tidak menyangka akan kehilangan mereka dalam sekelip mata,” katanya sebak.
Laila merupakan ibu kepada enam orang anak, namun dua anak sulungnya terselamat kerana mereka tidak berada di rumah ketika kejadian.
Mereka sebelum ini tinggal sementara bersama nenek di Puchong kerana keluarga mereka terlibat dalam kemalangan dua minggu lalu, yang menyebabkan suami dan anak kedua mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Suami mangsa, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, berjaya diselamatkan apabila penduduk kampung bertindak pantas membawanya keluar melalui tingkap.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa, sementara ahli keluarga dan penduduk kampung terus meratapi kehilangan yang amat besar ini.
Kredit: Kosmo!