Suasana menyayat hati menyelubungi lokasi nahas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kampung Sungai Petai petang semalam apabila seorang mangsa kemalangan dipercayai tercampak ke dalam longkang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bang, sebut Allah… abang kuat bang, Lailahaillallah…”

Dalam insiden yang tular menerusi rakaman video berdurasi 28 saat, kelihatan seorang lelaki merayu dalam nada sebak sambil berusaha menyedarkan mangsa yang terbaring kaku. Ucapan “Bang, sebut Allah… abang kuat bang, Lailahaillallah…” yang kedengaran dalam video berkenaan menyentuh hati netizen dan mencetuskan rasa simpati ramai.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.21 petang dan segera menghantar sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kembara dan sebuah bas henti-henti.

“Seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun tercampak ke dalam longkang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi lelaki berusia 22 tahun mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pemandu bas berusia 37 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]