Seorang bapa melalui detik paling menyayat hati apabila hanya mampu mendakap jenazah anak perempuannya yang berusia lima tahun selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Lama Raub-Bentong, berdekatan jambatan besi pertama Tras, pada Selasa.
Hilang Kawalan Sebelum Terjunam ke Gaung
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar jam 6 petang, dan kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut siasatan awal, kenderaan jenis Honda Accord itu dipandu oleh bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang durian.
Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari arah Tranum menuju ke Raub sebelum kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung.
Walaupun terselamat dalam nahas itu, bapa berusia 30 tahun itu segera keluar dari kenderaan dan mendukung anaknya yang tidak sedarkan diri. Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera memberikan bantuan pernafasan dalam usaha menyelamatkan mangsa.
Namun, pihak perubatan dari Hospital Raub yang tiba kemudiannya mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut sudah meninggal dunia.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kredit: Sinar Harian