Impian seorang bapa untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga dalam rumah baharu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kehilangan isteri dan dua anak dalam kemalangan tragis.

Anak Bongsu Menyusul Pergi Selepas Sebulan Isteri & Anak Pertama Meninggal Dunia Akibat Kemalangan

Tun Mohd Khairul Tun Arifin kini terpaksa menghadapi realiti pahit selepas anak bongsunya, Tun Nur Ufaira Afifa, 9, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada Khamis lalu. Pemergian anak kecil itu menyusul selepas kematian isteri dan anak sulungnya dalam nahas sama, sebulan lalu.

Kemalangan yang meragut nyawa tiga ahli keluarga ini berlaku pada 13 Februari lalu di Kilometer 13, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, Kuala Berang. Dalam kejadian tersebut, motosikal yang ditunggang oleh isteri Tun Mohd Khairul, Nursaidatul Aishah, bersama dua anak mereka telah dirempuh sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima pelajar politeknik.

Akibat perlanggaran itu, Nursaidatul Aishah dan anak sulung mereka, Wan Nur Izara Aina, 12, maut di lokasi kejadian, manakala anak bongsu pasangan itu mengalami kecederaan parah. Tun Nur Ufaira Afifa dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal sebelum bertarung nyawa selama sebulan.

Menurut Tun Mohd Khairul, sepanjang sebulan anaknya dirawat di hospital, dia tidak pernah berhenti berharap agar anak bongsunya pulih.

“Saya masih ingat satu ketika, dia pernah membuka mata dan mengalirkan air mata. Saya benar-benar berharap dia akan kembali sihat. Namun, Allah lebih menyayanginya,” katanya dengan nada sebak.

Tambahnya, pemergian insan tersayang dalam tempoh singkat adalah ujian paling berat dalam hidupnya, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang bersiap sedia menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Sedih sebab nak duduk di rumah baharu bersama isteri dan anak-anak tidak kesampaian. Kehilangan besar terutama semasa sambut perayaan Aidilfitri tanpa isteri dan anak-anak tercinta,” luahnya.

Walaupun diuji dengan kehilangan besar, Tun Mohd Khairul berusaha untuk menerima takdir dengan reda dan tabah.

“Sebagai seorang bapa, memang sangat sedih tetapi saya reda atas ujian yang berlaku. Saya sentiasa doakan kesejahteraan arwah isteri dan anak-anak di alam sana dan dikurniakan syurga tanpa hisab,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]