Peningkatan kos sara hidup telah menyebabkan ramai individu sanggup berhijrah dari kampung halaman masing-masing ke kawasan bandar seperti Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari rezeki.
Biarpun mengetahui cabaran serta kesukaran yang bakal ditempuhi, keputusan tersebut perlu diambil dengan harapan agar kehidupan bakal menjadi lebih baik meskipun terpaksa meninggalkan insan tersayang di kampung.
Baru-baru ini, tular di laman media sosial kisah menyayat hati seorang individu apabila dia telah menerima sebuah berita yang paling menyedihkan dalam hidupnya di saat sedang berusaha mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.
Kematian ibu
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh @KecharaSoupK, kenalannya yang dikenali sebagai Faizal telah datang ke Kuala Lumpur sejak tiga minggu lalu bagi mencari pekerjaan.
Namun apa yang menyedihkan sepanjang tempoh tersebut, Faizal dikatakan terpaksa menjadi seorang gelandangan dan tidur di jalanan kerana kehabisan wang.
Telefon bimbit milik Faizal juga sering ‘mati’ kerana tidak mempunyai bateri yang mencukupi sehingga menyebabkan lelaki itu sukar untuk dihubungi.
Sudah jatuh ditimpa tangga
Apa yang paling menyayat hati ialah, sejurus sahaja telefon bimbitnya itu berjaya dihidupkan, dia telah menerima banyak misscall dan pesanan daripada abangnya yang memaklumkan bahawa ibunya di kampung telah meninggal dunia.
Sudahlah tiada pekerjaan sehingga terpaksa menjadi gelandangan, ibu pula meninggal dunia. Dan lebih malang lagi buat Faizal apabila dia juga turut tidak mempunyai wang untuk pulang ke kampung halamannya di Muar bagi memberikan penghormatan terakhir kepada ibunya itu.
Rakyat Malaysia semakin prihatin
Kisah yang dikongsikan individu itu telah mendapat perhatian netizen di Twitter yang rata-ratanya bersimpati dan turut bersedih dengan nasib yang menimpa Faizal.
Malah, ada dalam kalangan mereka juga cuba memberikan bantuan kepada Faizal selain turut berharap agar urusannya untuk mencari rezeki pekerjaan dipermudahkan.
Sumber: Twitter KecharaSoupK