Pengecasan telefon secara berlebihan dan ditinggalkan semalaman boleh mendatangkan padah. Baru-baru ini tular di laman TikTok berkenaan seorang wanita memuat naik video tentang telefon kepunyaan adiknya meletup akibat cas semalaman ketika sedang tidur.
Telefon Bimbit Meletup Ketika Nyenyak Tidur
Menurut video yang dimuat naik oleh @nurain.najiha di laman TikTok beserta sumber dari Harian Metro, Muhammad Irfan Aiman iaitu pemilik telefon memaklumkan bahawa beliau tidak sedar telefon bimbitnya meletup kerana beliau nyenyak tidur. Kejadian tersebut berlaku pada awal pagi kelmarin.
“Saya sudah serik untuk mengecas telefon bimbit ketika tidur dan buat masa ini tak berani nak tidur dalam bilik berkenaan kerana teringat apa yang berlaku”, katanya kepada Harian Metro.
Bilik Dipenuhi Asap
“Pada hari kejadian, saya mengecas telefon bimbit di atas katil manakala saya tidur di bawah. Saya memang tak sedar apa yang berlaku sehingga 5 pagi, itu pun selepas kakak kejut untuk bangun. Waktu itu, bilik sudah dipenuhi asap jadi saya pun segera keluar untuk selamatkan diri dan mengelak sesak nafas”, ujar Muhammad Irfan Aiman lagi.
Beliau turut luahkan rasa syukur kerana tidak berlaku sebarang kebakaran besar susulan kejadian tersebut. Insiden tersebut telah membuat Muhammad Irfan buka mata lebih luas dan ambilnya sebagai pengajaran untuk tidak mengecas telefon bimbit ketika tidur atau bermain dengannya ketika proses pengecasan.
Raih 1.3 Juta Tontonan
Sementara itu, video yang dimuat naik oleh Nurain Najihah telah meraoh sebanyak 1.3 juta tontonan di TikTok dan niatnya hanyalah untuk berkongsi kisah adiknya itu demi memberi pengajaran kepada orang ramai mengenai bahaya mengecas telefon bimbit ketika tidur.
“Tak sangka boleh tular kerana saya kongsikan video itu supaya ramai lebih berhati-hati. Ia kerana insiden itu sudah berlaku kepada adik saya sendiri jadi saya taknak ia terjadi kepada orang lain”, katanya.
Kredit: Harian Metro, TikTok nurain.najiha