Seorang lelaki berusia lewat 30-an direman selama tiga hari bermula Rabu selepas dipercayai merosakkan cermin sisi sebuah kereta jenis Perodua Alza dalam satu kejadian di Bukit Segar, Cheras, Kuala Lumpur.
@cyberjayaviral Keadaan pemandu sebuah kereta cuba memecahkan cermin tepi kenderaan lain kawasan sekitar jalan bukit segar cheras #viral
Lelaki Direman Selepas Rosakkan Cermin Sisi Perodua Alza Di Cheras
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki terbabit ditahan pada jam 12.28 pagi Rabu susulan laporan yang diterima pihak polis mengenai insiden tersebut. Sebelum itu, pihaknya menerima laporan pada jam 8.40 malam Selasa berkaitan satu video yang tular di media sosial memaparkan tindakan seorang individu mematahkan cermin sisi sebuah kenderaan. Video berkenaan dimuat naik di TikTok oleh pemilik akaun @cyberjayaviral.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa marah suspek selepas mendakwa kenderaan Perodua Alza berkenaan menghalang laluan kenderaannya untuk keluar dari tempat parkir.
Rakaman video yang tular turut menunjukkan lelaki berbaju putih dan berseluar jeans biru yang menaiki sebuah Honda HRV pada mulanya cuba menarik cermin sisi kiri kenderaan tersebut. Selepas beberapa kali gagal, suspek dilihat menendang cermin sisi berkenaan sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
![]()
Di ruangan komen video tersebut, beberapa netizen membuat andaian bahawa kejadian berlaku selepas kenderaan Perodua Alza itu dipercayai melakukan parkir secara ‘double park’, sekali gus menyukarkan pemandu Honda HRV berkenaan untuk mengeluarkan kenderaannya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, selain turut melibatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kredit: TikTok cyberjayaviral, mStar