Seorang pekerja kontrak maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam tangki penyimpanan air sedalam 10 meter ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kuala Langat Power Plant, Kuala Langat, malam Ahad.

Pekerja Hilang Ketika Kerja Penyelenggaraan, Ditemui Maut Dalam Tangki Sedalam 10 Meter

Mangsa, Mohd Farhan Syazwan, 34, yang merupakan warga tempatan, ketika itu sedang melakukan kerja bagi menggantikan kayu di menara penyejuk bersama seorang rakan sekerjanya.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, rakan mangsa meninggalkan kawasan tersebut seketika untuk mengambil kayu.

Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian, rakannya kembali dan mendapati Mohd Farhan sudah tidak berada di tempat kerja.

Pada awalnya, rakan sekerja menyangka mangsa mungkin pergi ke tandas. Namun, selepas menunggu dan mendapati mangsa masih tidak muncul, dia mula mengesyaki berlaku sesuatu sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada penyelia.

Pemeriksaan di kawasan loji kemudian mendapati mangsa hilang, menyebabkan panggilan kecemasan dibuat dan pihak bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.26 malam.

Operasi mencari mangsa kemudiannya dijalankan dengan pasukan penyelamat terlebih dahulu mengosongkan kolam pertama untuk melakukan pemeriksaan. Bagaimanapun, usaha tersebut tidak membuahkan hasil apabila mangsa tidak ditemui di situ.

Pasukan penyelamat kemudian mengalihkan tumpuan ke kolam kedua, yang mempunyai kedalaman kira-kira 10 meter. Kerja mengosongkan kolam itu diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemukan pada kira-kira jam 4 pagi.

Anggota penyelamat kemudiannya turun ke dalam kolam sebelum membawa mangsa ke permukaan. Pemeriksaan mendapati Mohd Farhan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan sejak malam itu akhirnya ditamatkan pada jam 5.05 pagi.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]