Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mencetuskan kebimbangan apabila dipercayai dengan sengaja meletakkan objek tajam di atas jalan raya yang boleh membahayakan pemandu.

Tindakan itu telah memaksa pihak polis memanggil kedua-dua ibu bapanya untuk memberikan nasihat.

Video di bawah:

https://www.facebook.com/share/v/15bZr2hMbz/

Budak 12 Tahun Didapati Letak Objek Tajam di Jalan, Ibu Bapa Dipanggil Polis

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol, berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pagi Ahad, sekitar jam 7.30, di Jalan Kilometer 20 Semporna-Tawau. Ketika itu, pengadu sedang dalam perjalanan menuju Lapangan Terbang Tawau.

“Objek tersebut dipercayai diletakkan secara sengaja oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun tiada kemalangan yang berlaku terhadap pengguna jalan raya dalam kejadian itu,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, pengadu bersama beberapa pemandu bas pelancong lain bertindak segera membuang objek-objek berkenaan dari jalan raya untuk memastikan keselamatan pengguna lain. Tindakan pantas itu berjaya mengelakkan sebarang insiden yang lebih serius.

Hasil siasatan mendapati objek tersebut diletakkan oleh seorang kanak-kanak yang tinggal berhampiran lokasi kejadian. Difahamkan, perbuatannya hanya dilakukan untuk berseronok tanpa memikirkan risiko yang mungkin berlaku kepada pengguna jalan raya.

“Ibu bapa bersama kanak-kanak terbabit kita panggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan berikan nasihat supaya mengawasi anak mereka serta tidak mengulangi perbuatan itu,” kata Mohd Sabri.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi hampir dua minit telah tular di media sosial. Video tersebut menunjukkan beberapa pengguna jalan raya menemukan objek-objek tajam seperti paku dan kayu yang bertebaran di atas jalan, dipercayai diletakkan secara sengaja.

Kredit: Facebook LAHAD DATU Update, Sinar Harian

 

[fbcomments]