fbpx

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyeru semua masjid di negara ini agar memendekkan khutbah solat Jumaat dan menyediakan forehead thermometer, hand sanitizer serta penutup mulut dan hidung sebagai langkah mencegahan kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan hari ini berkata Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat berwuduk dari rumah sebelum ke masjid dan rakyat yang mengalami gejala COVID-19, dinasihatkan agar tidak menghadiri solat Jumaat sepertimana saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bacaan Qunut Nazila

Sultan turut menitahkan agar semua masjid di negara ini mengadakan bacaan Doa Qunut Nazilah semasa Solat Subuh dan Solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat dari wabak COVID-19.

Dato’ Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut menyeru peserta yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga Mac 1 memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

Menangguh perhimpunan yang melibatkan orang ramai

“Seri Paduka Baginda menggesa rakyat Malaysia agar menangguh perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) sepertimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan rakyat yang mengalami gejala COVID-19 agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat.

“Rakyat turut digesa menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sebarang keraguan serta pertanyaan dan untuk mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh mencetuskan panik di kalangan rakyat,” katanya lagi.

Dato’ Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat supaya mematuhi panduan kebersihan dan kesihatan diri serta langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM bagi mengelakkan penularan COVID-19.

[fbcomments]