Terkejut dan seakan tak percaya dengan kejadian yang berlaku di Kajang ini. Tidak ubah seperti dalam drama dimana seorang isteri sanggup merancang pembunuhan suaminya demi harta dan wang insurans.

Apa yang memeranjatkan lagi ialah, pasangan ini telah mendirikan rumah tangga selama 17 tahun!

Demi harta lebih RM2 Juta

Seorang wanita sanggup merancang pembunuhan suaminya bagi mendapatkan harta lelaki itu yang dianggarkan lebih RM2 juta serta insurans nyawa bernilai RM800,000.

Upah adik bunuh suami

Menurut sumber, suspek berusia 45 tahun dikatakan turut mengupah adik lelakinya berusia 42 tahun untuk bersekongkol dengan perbuatan itu dengan menawarkan sebahagian harta yang bakal diperoleh selepas tugasnya selesai.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 1 Oktober lalu itu dengan suspek dikatakan menyuruh adik lelakinya datang ke rumah mereka di Jalan Jati, Rumah Murah PKNS, Kampung Sungai Chua, Kajang di sini untuk membunuh mangsa.

Susulan kejadian itu, suspek membuat satu laporan polis mengatakan suaminya disamun seorang individu tidak dikenali sehingga cedera dan rantai emas yang dipakainya dilarikan.

Mangsa yang cedera di kepala dalam kejadian itu dimasukkan ke Hospital Kajang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.

Wujud keraguan dalam laporan

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati wujud keraguan dalam laporan dibuat suspek yang juga isteri pertama mangsa sebelum pihak polis memberkas wanita itu dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan, mangsa berusia 59 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) mengusahakan perniagaan lori dan besi buruk.

Mangsa juga dikatakan mempunyai dua isteri dan enam orang anak berusia dalam lingkungan belasan tahun dan 20-an.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, mengesahkan suspek membuat laporan polis mendakwa suaminya disamun dan rantai emas milik mangsa dilarikan.

Siasatan mendapati mangsa dipukul di kepala dengan menggunakan tukul. Senjata yang digunakan dalam kejadian itu sudah dirampas.

Hasil siasatan mendapati, pengadu iaitu isteri kepada mangsa merancang dan membunuh suaminya bersama dengan adik lelakinya untuk mendapatkan harta mangsa.

[fbcomments]