Pelakon Fazlina Ahmad Daud mendedahkan pengalaman mencabar yang dilaluinya ketika melakonkan watak dalam drama “Bidaah,” yang kini menjadi perbualan hangat.
Salah satu babak yang mencetuskan perhatian adalah apabila beliau terpaksa minum air basuhan kaki dan mencium kaki pelakon Faizal Hussein bagi menjayakan peranan sebagai pengikut ajaran sesat.
![]()
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZSMpKy93Y/
Fazlina Ahmad Daud Akui Cabaran Berat: Minum Air Basuhan & Cium Kaki Demi Watak
Menurut Fazlina, babak tersebut sememangnya sukar dan penuh cabaran, namun berjaya diselesaikan dalam satu pengambilan sahaja kerana beliau telah benar-benar menghayati wataknya.
“Saya memang minum air basuhan kaki dan cium kaki seperti yang dituntut dalam skrip. Memang bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya berjaya lakukannya sekali sahaja kerana sudah berada dalam karakter,” katanya.
![]()
Fazlina turut berkongsi bahawa sebelum penggambaran, beliau sendiri tertanya-tanya bagaimana seseorang boleh begitu taksub terhadap ajaran sesat sehingga sanggup menyerahkan segala harta kepada pemimpin mereka. Namun, selepas mendalami watak Kalsum, beliau akhirnya memahami psikologi di sebalik ketaksuban itu.
“Sebagai Fazlina, saya tidak faham bagaimana seseorang boleh tunduk begitu sahaja kepada pemimpin ajaran sesat. Tetapi apabila saya berada di set, duduk di bawah sambil melihat Faizal Hussein di atas kerusi besar, saya mula memahami perspektif mangsa.
“Dari sudut pandangan saya ketika itu, beliau kelihatan begitu berkuasa. Barulah saya faham bagaimana pengikut boleh begitu taksub. Rasa simpati terhadap mereka pun mula timbul,” jelasnya.
![]()
Tambahnya, watak Kalsum merupakan satu cabaran besar dan di luar zon selesanya. Malah, beliau merasakan drama ini lebih daripada sekadar hiburan kerana ia membawa mesej penting kepada masyarakat.
“Ini adalah antara lakonan paling berat yang pernah saya jayakan. Bukan saya seorang, malah semua pelakon turut merasai perkara yang sama. Setiap watak membawa kisah yang penuh emosi, dan kami semua melakukannya dengan niat sebagai satu bentuk dakwah. Harapan kami adalah agar drama ini membuka mata penonton mengenai taktik ajaran sesat yang memperdaya pengikut,” katanya.
![]()
Sementara itu, pengarah dan penulis skrip “Bidaah,” Erma Fatima, mengakui bahawa penghasilan skrip drama ini merupakan cabaran terbesar dalam kariernya. Menurutnya, setiap dialog yang berkaitan dengan agama perlu disemak dengan teliti bagi memastikan ia selari dengan ajaran Islam sebenar.
“Skrip ini adalah yang paling sukar pernah saya hasilkan kerana kami tidak boleh menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar. Setiap dalil dan ilmu yang disampaikan dalam drama ini perlu dirujuk kepada pakar terlebih dahulu.
“Namun, untuk menggambarkan penyimpangan perangai watak-watak dalam cerita ini tidaklah sukar kerana ia adalah fiksyen. Oleh sebab itu, pelakon hanya menerima skrip mereka setiap hari di set tanpa mengetahui perjalanan penuh cerita lebih awal,” jelasnya.
Mengulas mengenai babak minum air basuhan kaki yang mencetuskan kontroversi, Erma menegaskan bahawa adegan itu diwujudkan bagi menggambarkan realiti sebenar pengikut ajaran sesat yang sanggup melakukan perkara di luar batasan logik.
![]()
“Jika babak itu dibuat menggunakan teknik kamera, ia tidak akan kelihatan realistik. Setakat ini, hanya Fazlina dan beberapa pelakon tambahan yang perlu melakukannya,” katanya.
Menyedari sensitiviti drama ini, Erma berkata beliau sudah bersedia menghadapi sebarang kecaman, namun menegaskan bahawa tujuan utama “Bidaah” adalah untuk membongkar kepincangan ajaran sesat dan bukan untuk merosakkan imej Islam.
“Dikecam itu perkara biasa. Apa yang penting, drama ini bukan bertujuan menjatuhkan Islam, sebaliknya mendedahkan bahaya ajaran sesat yang memperdaya umat,” tegasnya.
Selain Fazlina dan Faizal Hussein, “Bidaah” turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Riena Diana, Fattah Amin, Hasnul Rahmat, Vanida Imran, Fathia Latiff, Malia Baby, dan Marisa Yasmin. Drama ini telah mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu sejak 6 Mac lalu.
Kredit: Kosmo!