Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam longkang berhampiran sebuah padang di Jalan Menglembu Impiana 12, Taman Menglembu Impiana Adril, Ipoh pada Ahad. Mangsa dipercayai terjatuh dari tempat tinggi sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.

Penuntut IPT Meninggal Dunia Dipercayai Akibat Terjatuh Dari Tempat Tinggi

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.45 pagi. Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan lelaki tempatan ditemui dalam keadaan terlentang di dalam longkang dengan kesan darah di bahagian mulut.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda pergelutan atau unsur jenayah. Susulan itu, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan punca kematian adalah kecederaan di kepala yang dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Tambahnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, mangsa dilaporkan ditemui kira-kira 30 meter dari rumahnya selepas seorang jiran yang ingin meletakkan kenderaan di kawasan tersebut menyedari kehadirannya sekitar jam 11.20 pagi. Saksi berkenaan kemudian memaklumkan perkara itu kepada rakannya sebelum menghubungi pihak polis.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]