Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini membebaskan penyanyi, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, 30, bersama suami serta empat lagi individu daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda dalam kejadian yang berlaku pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, kesemua mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 baht (RM526) selepas mengaku bersalah atas kesalahan mengambil dadah. Mereka tidak perlu membayar denda tersebut kerana telah menjalani tempoh tahanan reman melebihi empat bulan dengan kelakuan baik sepanjang dalam penjara.

Eda Ezrin dan Lima Rakan Dibebaskan Daripada Pertuduhan Miliki Pil Kuda di Narathiwat

Panel dua hakim yang bersidang membuat keputusan tersebut selepas meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan sepanjang tiga hari prosiding perbicaraan bulan lalu.

Dalam prosiding sama, dua daripada tertuduh iaitu Eridieka Mohd. Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, turut dikenakan denda atas kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen perjalanan sah. Bagaimanapun, hukuman denda mereka juga dianggap selesai berikutan tempoh tahanan reman yang telah dilalui.

Menurut keterangan hakim, pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti kukuh yang mengaitkan keenam-enam tertuduh dengan pemilikan dadah tersebut. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut menunjukkan individu lain membawa masuk beg berisi dadah ke bilik hotel yang dihuni kumpulan berkenaan.

Salah seorang peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz, berkata pihak pendakwaan masih mempunyai tempoh sebulan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan pembebasan tersebut.

“Sehingga rayuan diputuskan, anak guam saya perlu kekal dalam tahanan. Jika tiada rayuan dikemukakan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.

Terdahulu, Eda Ezrin bersama suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, serta empat rakan mereka ditahan pihak berkuasa Thailand dalam satu serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok pada awal November 2024. Ketika serbuan dilakukan, polis menemui ribuan pil kuda dalam bilik yang dihuni mereka selepas didakwa berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.

Pada perbicaraan sebelum ini, Eda Ezrin memberi keterangan bahawa terdapat individu lain yang memasuki biliknya sebelum tangkapan dilakukan. Menurutnya, empat individu yang dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik dipercayai berada di bilik tersebut dan dilihat membawa masuk beg sebelum meninggalkan lokasi.

Kredit: Kosmo!

 

 

 

[fbcomments]