Pelakon Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta menyifatkan adiknya, Ayu Raudhah, dan suami, Zaquan Adha, sebagai pasangan yang bertuah meskipun baru kehilangan anak bongsu mereka, Muhammad Aisy Al Raees, yang meninggal dunia pada usia enam bulan.
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZSM8PPXQk/
“Empat Anak Syurga Menanti” – Che Ta Anggap Ayu & Zaquan Bertuah
Menurut Che Ta, walaupun pemergian itu amat menyedihkan, mereka telah dikurniakan rezeki luar biasa kerana empat anak syurga sudah menanti di sana.
Che Ta yang rapat dengan anak saudaranya itu berkongsi betapa istimewanya Aisy Al Raees di matanya.
“Dalam galeri telefon Mak Ngah, penuh dengan gambar baby Raees. Setiap hujung minggu, kalau dia tak datang ke Kota Damansara, Mak Ngah akan ke Seremban,” kongsinya dengan nada sebak.
Dia menggambarkan Allahyarham sebagai bayi yang sangat baik dan luar biasa, serta menyifatkan Ayu dan Zaquan sebagai ibu bapa bertuah kerana berpeluang menjaga anak syurga itu walaupun seketika.
“Pinjaman yang penuh kenikmatan. Beruntungnya Ayu dan Zaquan, empat anak syurga sudah menanti mereka di sana,” luahnya dalam satu hantaran di TikTok.
Dalam perkongsian penuh emosi itu, Che Ta turut mendedahkan mereka sekeluarga berpeluang tidur bersama Allahyarham buat kali terakhir sebelum dikebumikan.
“Semalam, kami semua dapat tidur dengan baby Raees untuk kali terakhir. Selamat jalan anak syurga. Damailah di sana, sayangku Muhammad Aisy Al Raees bin Mohammad Zaquan Adha,” tulisnya.
Sementara itu, Ayu Raudhah reda dengan pemergian anak bongsunya walaupun kehilangannya begitu dirasai. Baginya, enam bulan yang dilalui bersama akan menjadi kenangan paling indah yang dikenang selamanya.
Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said, Sikamat, Negeri Sembilan pada jam 9.22 pagi semalam.
Kredit: TikTok rozitachewan1, BERNAMA