Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim meluahkan rasa kecewa susulan keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes serangan asid terhadap dirinya sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Faisal Halim Kecewa Kes Serangan Asid Dihentikan, Zaid Ibrahim Saran Faisal Halim Saman Polis Jika Wujud Kecuaian Siasatan
Kes yang berlaku pada 5 Mei tahun lalu itu hampir meragut nyawanya dan memberi kesan besar terhadap kerjaya sukan profesional yang diceburinya. Menurut Faisal, keputusan tersebut amat sukar untuk diterima memandangkan serangan itu berlaku secara terang-terangan di khalayak ramai.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim yang menyifatkan tindakan menghentikan siasatan sebagai sesuatu yang mengecewakan.
Beliau mencadangkan agar pemain kelab Selangor FC itu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak polis sekiranya terdapat elemen kecuaian atau penyelewengan tugas awam.
“Bolehkah Faisal saman polis? Tiada undang-undang yang memberikan tanggungjawab mangsa tindakan jenayah ke atas polis, tetapi saman untuk penyelewengan tugas awam patut dicuba.
“Jika Faisal boleh menunjukkan bahawa polis tidak melakukan kerja mereka seperti yang sepatutnya, atau sengaja mengelak daripada membuat tangkapan, maka tindakan undang-undang itu akan berjaya,” katanya.
Menurut Zaid, walaupun tiada peruntukan undang-undang yang secara langsung mewajibkan mangsa menuntut siasatan, namun beliau berpendapat langkah perundangan perlu diambil sekiranya wujud asas kukuh.
Beliau turut menzahirkan rasa kecewa terhadap ketelusan dalam sistem penyiasatan dan pelaksanaan undang-undang di negara ini, khususnya melibatkan kes-kes jenayah berprofil tinggi.
“Kita tinggal di negara yang keadilan tidak mudah diperolehi sekiranya pelaku jenayah itu tergolong dalam kelas mafia.
“Jadi, memang sukar tetapi Faisal mesti tabah,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, pihak polis memaklumkan bahawa meskipun kes diklasifikasikan sebagai NFA, ia tidak bermakna siasatan telah ditutup sepenuhnya.
Status tersebut hanya merujuk kepada penahanan suspek yang tidak mempunyai kaitan kukuh dengan kes berkenaan setakat ini.
Menurut laporan, Faisal diserang dengan bahan kimia dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian mengejutkan yang berlaku pada waktu siang. Sehingga kini, tiada perkembangan baharu yang diumumkan oleh pihak berkuasa berhubung siasatan lanjut.
Kredit: Buletin TV3