Baru-baru ini GoPro telah melancarkan secara rasmi produk kamera aksi lasak Hero 10 Black yang menampilkan lebih banyak penambahbaikan serta rakaman yang lebih stabil pada kualiti yang lebih tinggi.


Untuk spesifikasi khusus, GoPro Hero10 Black dilengkapi sensor 23MP yang mampu merakam video pada resolusi maksimum 5.3K/60fps, serta sokongan rakaman gerak perlahan 4X (4K/120fps) dan 8X (2.7K/240fps).

Ia juga turut menggunakan cip pemprosesan GP2 baharu pula membenarkan rakaman kualiti yang lebih tinggi dan stabil, selain meningkatkan prestasi terutama ketika penggambaran kurang cahaya, dan memastikan operasi kamera lebih lancar.

Apa yang menariknya lagi, ia turut disertakan dengan sistem penstabilan HyperSmooth 4.0 bagi memastikan kestabilan video aksi yang dirakam lebih stabil.


GoPro Hero10 Black mampu menstabilkan imej walaupun ketika keadaan kamera disendengkan sehingga 45 darjah yang merupakan peningkatan dari sehingga 27 darjah pada sistem HyperSmooth sebelum ini.

GoPro Hero 10 Black juga menyokong penstriman langsung sehingga resolusi 1080P, tiga unit mikrofon dengan sistem pengurangan kebisingan angin, kawalan menggunakan suara, skrin sesentuh, kemampuan kalis air sehingga kedalaman 10 meter dan bateri boleh dicabut berkapasiti 1,720 mAh.

Malah, untuk proses pemindahan data dari kamera ke telefon pintar juga lebih pantas sehingga 30%. Selain itu, ia turut menawarkan perkhidmatan menyimpan video ke cloud ketika kamera sedang dicaj.

Daripada segi pandangan fizikalnya pula, badan, skrin, lensa, dan sensor gambar tidak berubah tetapi beratnya sedikit lebih ringan daripada model sebelum ini.

Oh ye, untuk pengetahuan korang, GoPro Million Dollar Challenge edisi 2021 telah pun bermula. Ia adalah pertandingan tahunan yang diadakan GoPro bagi menyeru pengguna kamera aksi mereka menghantar klip video gempak yang dirakam guna kamera yang dilancarkan pada tahun tersebut.

So bagi korang yang nak beli GoPro Hero10 Black ini nanti boleh lah sertai GoPro Million Dollar Challenge ini dengan merakam dan menyerahkan klip video korang di GoPro.com/MillionDollarChallenge. Penghantaran ditutup 1 Disember 2021 pada jam 23:59

Setiap pemenang yang tersenarai akan merebut sebahagian daripada wang tunai USD 1 juta yang yang telah disediakan itu. Wahh menarik tu!

HERO10 Black akan mula dijual di Malaysia dengan harga RM2,399.00 pada akhir September 2021 dan diedarkan oleh pengedar GoPro yang baru dilantik iaitu Ingram Micro Malaysia Sdn. Bhd.

Lawati GoPro.com untuk mengetahui lebih lanjut mengenai barisan GoPro baru dan HERO10 Black.

[fbcomments]