Enam individu termasuk tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu seberat 96.2 kilogram (kg) yang dipercayai menggunakan aset tentera.

Tiga Pegawai TUDM Antara Enam Didakwa Edar 96.2kg Syabu Guna Aset Tentera, Berdepan Hukuman Mati

Tiga pegawai terbabit ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33; Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27; dan Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34. Turut didakwa ialah tiga orang awam, Tan Sui Seng, 48; Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28; serta Afifah Amdas, 34.

Kesemua mereka hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, keenam-enam tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 96.2kg di Pangkalan TUDM Subang pada jam 6.50 petang, 17 November lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, mereka turut berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 kali.

Dalam prosiding itu, mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh. Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Februari tahun depan bagi tujuan penyerahan dokumen.

Untuk rekod, pendakwaan terhadap enam individu berkenaan dibuat susulan penahanan 13 individu yang terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan antara 17 hingga 19 November lalu.

Daripada jumlah tersebut, tujuh lagi suspek dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Kredit: Berita Harian, Malaysia Gazette

[fbcomments]