Seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun terpaksa menghabiskan kira-kira sebulan di penjara selepas disyaki memasuki negara ini secara haram, sebelum dibebaskan apabila identiti sebenarnya disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
![]()
Disangka Pendatang Tanpa Izin, Lelaki Dipenjara Lima Bulan Rupanya Warganegara Malaysia
Kejadian itu dilaporkan bermula apabila Azlanshah Mahathir, seorang pekerja pengendalian kargo, keluar membeli roti canai tanpa membawa MyKad. Dia kemudian ditahan pada 11 Oktober lalu dan didakwa memasuki Malaysia tanpa pas masuk yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Azlanshah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau pada 20 Oktober lalu sebelum dijatuhi hukuman penjara lima bulan bermula tarikh tangkap. Mahkamah turut memerintahkan supaya dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman. Bagaimanapun, perkembangan baharu berlaku apabila semakan cap jari biometrik yang dijalankan JPN pada 5 November mengesahkan bahawa lelaki berkenaan sebenarnya merupakan warganegara Malaysia.
Susulan pengesahan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji mengemukakan permohonan semakan jenayah mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Tatacara Jenayah. Pihak pendakwaan berhujah bahawa pertuduhan serta sabitan terhadap Azlanshah tidak sepatutnya dikenakan kerana dia bukan warga asing.
![]()
Pada 25 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Tawau, Steve Ritikos membenarkan permohonan tersebut dan mengetepikan sabitan serta hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya. Azlanshah kemudian dibebaskan serta-merta selepas menjalani hukuman selama kira-kira sebulan.
Mahkamah turut mengarahkan supaya nama lelaki itu diperbetulkan daripada ‘Azlan Shah Mahadir’ kepada nama sebenarnya, Azlanshah Mahathir, dalam semua rekod rasmi dan dokumen berkaitan. Selepas dibebaskan, Azlanshah dilaporkan menerima apa yang berlaku sebagai satu pengajaran dalam hidupnya. Dia juga berjanji untuk sentiasa membawa MyKad setiap kali keluar selepas ini.
Untuk rekod, Peraturan 6 dan 7(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 mewajibkan warganegara serta penduduk tetap berusia 12 tahun ke atas membawa kad pengenalan dan mengemukakannya apabila diminta oleh pegawai yang diberi kuasa.
Kegagalan mematuhi peraturan itu boleh menjadi kesalahan di bawah Peraturan 25(1), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Kredit: Sinar Harian