Misteri kehilangan isteri kepada seorang ahli perniagaan terkemuka dari Sarawak iaitu Datin Seri Pamela Ling Yueh, sejak sebulan lalu terus menjadi tanda tanya apabila polis kini menyiasat kemungkinan penculikan itu dirancang oleh mangsa sendiri.
Polis Siasat Kemungkinan Penculikan Dirancang Mangsa Sendiri
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa yang memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk meneliti elemen perancangan oleh mangsa.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku dalam keadaan cukup teratur dan mangsa dilihat memberi kerjasama tanpa sebarang pergelutan. Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada penculikan ini benar-benar berlaku atau sesuatu yang telah dirancang,” katanya dalam sidang media.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihak polis masih belum dapat mengesahkan sebarang kesimpulan dan segala kemungkinan akan terus disiasat secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Datuk Rusdi turut menyatakan keyakinan bahawa Pamela masih berada dalam negara dan dipercayai masih hidup.
“Dalam beberapa kes, kehilangan disusuli kematian dalam tempoh singkat. Namun dalam kes ini, kami percaya mangsa masih hidup,” katanya.
Hasil semakan Jabatan Imigresen mendapati tiada sebarang rekod menunjukkan Pamela keluar dari negara ini selepas lawatannya ke Singapura pada Januari lalu.
“Setakat ini, tiada pergerakan keluar melalui saluran sah dikesan. Namun, tidak mustahil ada yang keluar melalui laluan tidak rasmi,” jelasnya.
Siasatan juga mendapati tiada sebarang operasi dijalankan oleh mana-mana agensi penguat kuasa di sekitar Putrajaya ketika kejadian dilaporkan berlaku pada 9 April lalu. Pamela ketika itu dilaporkan dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut laporan, mangsa sempat memberikan wang tunai berjumlah RM100 kepada pemandu e-hailing sebelum dibawa oleh individu yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis.
Polis kini giat menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif dan pihak yang terlibat, sama ada ia membabitkan penculikan sebenar atau dirancang sendiri oleh mangsa.
Kredit: Harian Metro