Desas-desus berkaitan darurat kini sedang hangat diperkatakan di Malaysia. Sehingga kini ianya masih lagi menjadi tanda tanya. Tapi tahukah anda apa itu darurat?
Darurat ialah suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.
Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.
Malaysia pernah isytiharkan darurat
Tahukah anda, berdasarkan sejarah, Malaysia sebenarnya pernah beberapa kali melalui keadaan darurat.
Antara yang paling diingati tentunya darurat pada Mei 1969 berikutan tragedi rusuhan kaum yang mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969. Namun selain tu, terdapat banyak lagi darurat yang pernah kita lalui. Antaranya ialah…
Darurat Tanah Melayu
Darurat Tanah Melayu merupakan darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan British di Tanah Melayu dari tahun 1948 hingga tahun 1960 selepas pendudukan Jepun 1942-1945.
Selepas tentera Jepun menyerah kalah kepada British pada 15 Ogos 1945, anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) mengambil kesempatan keluar dari hutan dan bertindak ganas.
Rentetan daripada itu, ramai orang telah dibunuh dengan kejam oleh Parti Komunis Malaya terutama dalam tempoh seminggu ‘kekosongan kuasa’ disebabkan pasukan tentera Brisih belum tiba di Tanah Melayu.
Darurat konfrontasi
Pada tahun 1964, Tunku Abdul Rahman pernah mengisytiharkan darurat selepas pencerobohan tentera Indonesia pada bulan September. Parlimen kemudiannya meluluskan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964 yang antara lain memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal peraturan-peraturan darurat.
Darurat Sarawak
Pada tahun 1966, Sarawak pernah diletakkan dalam keadaan darurat dimana 21 daripada 42 Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Darurat ini terjadi pada 14 September 1966
Darurat rusuhan kaum
Pada tahun 1969, telah terjadi satu peristiwa yang seharusnya tidak dilupakan dimana satu tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia.
Tragedi ini telah meragut nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969” merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.
Susulan daripada itu, Perlembagaan Persekutuan telah digantung dan negara diperintah secara terus oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah undang-undang tentera.
Darurat Kelantan
Pada November 1977, Almarhum Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah mengisytiharkan darurat di Kelantan susulan krisis politik di negeri tersebut.
Parlimen meluluskan Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 yang memberikan kuasa eksekutif negeri berkenaan kepada pengarah kerajaan yang dilantik oleh Perdana Menteri, manakala sultan yang juga Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, memegang kuasa perundangan.
Darurat jerebu
Darurat jerebu pula pernah diisytiharkan pada 1997, 2005 dan 2013. Ia hanya membabitkan beberapa kawasan di Sarawak, Selangor dan Johor susulan paras pencemaran udara yang sangat teruk ketika itu.
Kredit: Astro Awani