Suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Hadhari di sini awal pagi tadi apabila 13 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas tragis di Gerik tiba untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Jenazah 13 Pelajar UPSI Tiba di Jertih, Ribuan Hadir Beri Penghormatan Terakhir

Konvoi 13 van jenazah yang bergerak dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dilaporkan tiba kira-kira jam 2.55 pagi dan solat jenazah dimulakan sekitar jam 3.15 pagi, disertai ribuan orang awam.

Difahamkan, masjid yang menjadi lokasi perhimpunan para pelajar sebelum menaiki bas untuk pulang ke kampus minggu lalu kini menjadi tempat terakhir mereka disinggahi.

Lebih 3,000 orang termasuk ahli keluarga, sahabat handai, serta penduduk setempat hadir bagi memberikan penghormatan terakhir. Solat jenazah diimamkan oleh Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Tangisan dan raut wajah sedih jelas terpancar dalam kalangan ahli keluarga yang menunggu ketibaan jenazah di kawasan masjid. Ada yang tidak mampu menahan air mata sebaik melihat van-van jenazah memasuki perkarangan masjid.

Selesai disembahyangkan, kesemua jenazah dibawa pulang ke kampung masing-masing untuk dikebumikan pagi ini.

Nahas yang berlaku awal pagi Isnin lalu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, telah meragut 15 nyawa termasuk pelajar UPSI yang baru pulang dari bercuti Aidiladha di kampung halaman.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]