Jurulatih pasukan bola tampar Melaka Bawah 14 (Wanita), Saiful Hadee membuat pemohonan maaf secara terbuka selepas insiden menampar dua orang pemain wanita tular dan mencetuskan kontroversi.
Saiful,44 yang juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Alor Gajah, Melaka mengakui kesal dengan perbuatan itu dan terbuka menerima sebarang tindakan berhubung insiden tersebut.
“Saya sesungguhnya kesal dengan apa yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pemain terutamanya kedua pemain yang terbabit serta ibu bapa mereka”
“Pemain-pemain adalah keluarga dan kekuatan saya, tanpa mereka saya tidak boleh menjadi jurulatih,” begitulah luahan Saiful, jurulatih bola tampar yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Bukan niat mendatangkan kecederaan sebaliknya hanya mahu memberi motivasi.
“Latihan yang saya jalankan ada pelbagai jenis antaranya pendekatan psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemain. Ini untuk menaikkan semangat mereka sebagai pemain yang sentiasa berjuang mencari kemenangan.”
“Saya tidak berniat untuk mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan, tindakan itu adalah untuk menaikkan lagi semangat dan memotivasikan mereka.
Jurulatih itu juga menyatakan kesediaan menerima sebarang keputusan dan tindakan atas ketelanjurannya itu.
“Saya sedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan kepada saya selain berharap perkara ini menjadi pengajaran pada diri sendiri,” katanya.
Permohonan maaf tersebut dilakukan ketika sidang media di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka pada lewat petang Rabu.
Sumber: Astro Awani