fbpx

Suami seorang Youtuber sensasi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memiliki senjata berbahaya.

Tertuduh, M.Sugu, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil, di hadapan Hakim.

Mengikut pertuduhan, Sugu dituduh memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66.040 cm (26 inci) bertulis Tiger di parkir Wad Paliatuf PCU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Jalan Raja Ashman Shah yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Ikat jamin RM10,000

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail membantah sebarang wang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu lazimnya tidak ditawarkan jaminan.

“Senjata ditemui di tempat awam di mana hospital merupakan satu tempat yang selamat. Tujuan (senjata) pula digunakan untuk kekerasan rumah tangga. Namun ia atas budi bicara mahkamah, dan sekiranya dibenarkan jaminan, saya memohon RM20,000 dikenakan,” katanya.

Peguam, Mahinderjit Singh yang mewakili Sugu pula memohon jaminan diberikan terhadap tertuduh memandangkan isterinya, S.Pavithra telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya.

“Tertuduh juga mempunyai dua anak yang masih kecil dan kejadian itu merupakan sedikit salah faham. Isteri tertuduh juga turut hadir di mahkamah.”

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga kes selesai.

Saya dah maafkan

Wanita berusia 28 tahun itu mengakui sudah memaafkan kesalahan suaminya.

“Saya maafkan suami. Apa yang terjadi semuanya berkaitan masalah keluarga dan saya sudah maafkan suami atas apa yang berlaku.

“Saya dan suami akan teruskan kehidupan seperti biasa dan kami akan kembali bersama meneruskan rancangan masakan di YouTube pada bila-bila masa sahaja.”

[fbcomments]