Walaupun sudah hampir dua tahun Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah meninggal dunia, keluarga anggota bomba itu masih belum mendapat pembelaan yang sewajarnya sehingga hari ini. Malah, bapa arwah pernah meminta agar pelaku yang membunuh anaknya ditangkap segera.
Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, keluarga Allahyarham Adib akan mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.
Saya kecewa dengan kenyataan KPN
Menurut bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, kematian anaknya yang belum terbela menyebabkan mereka sekeluarga masih bersedih walaupun reda dengan pemergiannya itu.
Saya kehilangan anak tetapi kematiannya masih belum terbela, jadi saya mahu menuntut ganti rugi, kami sekeluarga sungguh kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Saya berasa perkara ini pelik, bagaimana Ketua Polis Negara membuat kenyataan bercanggah sedangkan Mahkamah Koroner sudah putuskan arwah meninggal dunia akibat perbuatan jenayah.
Tambahnya lagi, keluarga mereka sangat berharap polis dapat mengenal pasti saksi dan menangkap pesalah yang memukul anaknya sehingga meninggal dunia.