Sebuah video memaparkan seorang lelaki warga emas meluahkan rasa kecewa selepas tidak dibenarkan berniaga di satu lokasi tertentu tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Video di bawah:

https://vt.tiktok.com/ZSMot4ns7/

Pakcik Lempar Petai Ke Jalan Gara-Gara Dilarang Berniaga Atas Motor

Rakaman tersebut yang dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok dikenali sebagai rosaganhusein548, menunjukkan pakcik berkenaan bertindak melempar petai ke jalan selepas dua pegawai penguat kuasa menghalangnya menjual barangan tersebut menggunakan motosikal.

Dalam video itu, lelaki berkenaan dapat didengar meluahkan rasa kecewa kerana tidak diberi peluang mencari rezeki dengan cara berniaga. Menurutnya, bukan sahaja sukar mendapatkan keperluan harian, malah mencari pendapatan di negara sendiri juga bukan sesuatu yang mudah.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian cuba meredakan keadaan dengan mengutip kembali petai yang dilemparkan. Namun, dalam keadaan marah dan kecewa, pakcik tersebut bertindak membuang petai-petai itu ke dalam longkang berhampiran sebagai tanda protes terhadap tindakan yang dikenakan ke atasnya.

Susulan kejadian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, YB Dr. Rajasekaran a/l Gunnasekaran telah mengadakan pertemuan bersama peniaga terbabit, yang dikenali sebagai Mohd Noor Bin Saad. Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Tuan Hasnor, Setiausaha MPPD, Tuan Mohd Azizul Hakim, Unit Penguatkuasa, Unit Perlesenan, serta Ahli Majlis Perbandaran, Tuan Segaran Annamalai, bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Dalam pertemuan itu, Dr. Rajasekaran mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, menghulurkan sumbangan kepada Mohd Noor sebagai pampasan bagi petai yang tidak dapat dijual.

Hasil perbincangan, pihak MPPD bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara kepada Mohd Noor bagi membolehkannya menjalankan perniagaan secara sah. Selain itu, pegawai penguat kuasa yang terlibat turut hadir dan bersalaman dengan Mohd Noor sebagai tanda penyelesaian serta keinsafan terhadap situasi yang berlaku.

Pihak MPPD juga memaklumkan bahawa pemantauan akan terus dijalankan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang di masa hadapan. Dr. Rajasekaran berharap agar pertemuan ini dapat meredakan ketegangan serta memberikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak.

Kredit: TikTok rosaganhusein548

 

 

[fbcomments]