Sejenis kek lapis Sarawak yang dikenali sebagai Kek Lapis Sultan mencuri perhatian apabila dijual pada harga mencecah RM1,800 bagi satu loyang, sekali gus menjadikannya antara kek lapis paling mahal di pasaran ketika ini.
Kek tersebut dihasilkan oleh pemilik Abg K’ju Cake House, Adhar Brahim, 38, yang mengetengahkan konsep kek lapis premium dengan gabungan bahan berkualiti tinggi serta teknik pembuatan yang teliti.
![]()
Kek Lapis Premium Seberat Lebih 5kg Dijual RM1,800 Satu Loyang
Menurut Adhar, penghasilan kek berkenaan bukan sekadar untuk memenuhi permintaan pelanggan, sebaliknya turut mencerminkan kreativiti dan kehalusan seni dalam dunia pembuatan kek lapis Sarawak. Katanya, setiap lapisan kek disusun dengan penuh ketelitian bagi memastikan tekstur, rasa dan susunan lapisan berada dalam keadaan seimbang serta kemas.
Beliau menjelaskan, proses menghasilkan Kek Lapis Sultan memerlukan kemahiran tinggi, kesabaran dan pengalaman kerana pembuatan kek lapis sangat sensitif terhadap suhu serta tempoh pembakaran. Jika berlaku sedikit kesilapan, lapisan kek mungkin tidak sekata atau teksturnya boleh berubah.
Adhar berkata, keseluruhan proses pembuatan kek tersebut mengambil masa lebih lapan jam, bermula daripada proses menyediakan adunan sehingga kerja melapis dan membakar setiap lapisan kek selesai.
![]()
Bagi memastikan kualiti yang terbaik, beliau menggunakan bahan premium seperti mentega Wijsman, buah-buahan kering import serta pelbagai jenis kekacang yang dipilih dengan teliti. Gabungan bahan tersebut bukan sahaja menghasilkan rasa yang lebih kaya, malah memberikan tekstur yang unik kepada kek berkenaan.
Menurutnya, setiap bahan dipilih secara teliti supaya dapat memberikan rasa yang lebih mendalam serta identiti tersendiri kepada Kek Lapis Sultan.
Kek tersebut juga dihasilkan dalam saiz agak besar dengan berat lebih lima kilogram bagi satu loyang. Ia dijual pada harga RM1,800 bagi satu loyang, RM910 untuk setengah loyang, RM310 bagi saiz ‘loaf’ dan RM160 untuk setengah ‘loaf’.
![]()
Bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan mencuba kek tersebut, pihaknya turut menyediakan saiz kecil atau ‘bite size’ yang dijual pada harga RM9.50 sepotong.
Menurut Adhar, pengeluaran Kek Lapis Sultan dihadkan kepada 200 loyang sahaja bagi mengekalkan nilai eksklusif produk tersebut. Kek itu lazimnya menjadi pilihan pencinta kek lapis yang gemar mencuba sesuatu yang unik dan mempunyai rasa berbeza daripada kek lapis biasa.
Beliau turut berkongsi bahawa ada yang berseloroh mengatakan dirinya mahu cepat kaya atau mahu menunaikan haji dengan segera kerana harga kek tersebut. Namun menurutnya, pelanggan tetap Abg K’ju Cake House memahami kualiti serta usaha yang dicurahkan dalam menghasilkan kek berkenaan dan mereka tidak berkira untuk membelinya.
Kredit: Berita Harian