Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam pada Selasa lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
![]()
Kemalangan Lori Ragut 9 Nyawa FRU, Pemandu Mengaku Tidak Bersalah di Mahkamah
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Md Radi, 45, yang bekerja sebagai pemandu lori muatan batu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurhamizah Shaffiuddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rudi didakwa memandu lori jenis Nissan dengan nombor pendaftaran AKL 4674 secara cuai dan membahayakan pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU. Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, sekitar jam 8.51 pagi, pada 14 Mei lalu.
Sembilan anggota yang terkorban dikenal pasti sebagai Sarjan S. Perumal, 44 tahun; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46 tahun; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41 tahun; Koperal Nurit Pandak, 34 tahun; Koperal Amiruddin Zabri, 38 tahun; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38 tahun; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35 tahun; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 tahun, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28 tahun.
![]()
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan. Tertuduh juga boleh hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin. Selain itu, tertuduh juga diperintahkan melapor diri di balai polis seminggu sekali dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 17 Jun depan bagi pelantikan peguam. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Francis Sinnappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
![]()
Dalam insiden yang mengorbankan sembilan nyawa itu, lori yang dipandu tertuduh dilaporkan mengalami kerosakan sistem stereng sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh lori FRU yang membawa 18 anggota dari Unit Simpanan Persekutuan. Lapan mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
Difahamkan, anggota FRU tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan kawalan sempena perarakan sambutan keagamaan Cithra Pournami.
Kredit: Berita Harian