Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid Simpang Renggam, Kluang, Johor.
Mencatat 61 kes positif Covid-19
Keputusan tersebut dibuat oleh kerajaan setelah kawasan berkenaan mencatatkan 61 kes positif Covid-19. Perintah itu berkuat kuasa bermula tengah malam semalam sehingga 9 April 2020.

Menurut kenyataan dari akhbar, PKD ini melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan yang terdiri daripada 650 keluarga.
Tidak dibenarkan keluar rumah
Dengan pelaksanaan PKPD, semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan.
“Pelawat dan bukan penduduk tempatan tidak dibenar masuk ke kawasan tersebut dan semua aktiviti perniagaan dihentikan.”
JKM akan bekalkan makanan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membekalkan makanan asas kepada semua penduduk tempatan.
“Bekalan makanan asas mencukupi untuk tempoh 14 hari”
Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pematuhan perintah itu, polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam dan RELA akan mengawal seluruh kawasan berkenaan.
“Kesemua laluan pintu masuk kampung dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid ditutup. Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD,” katanya.
KKM telah mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan Covid-19 di Daerah Kluang, Johor. Daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes adalah dari dua kawasan berkenaan.