Seorang lelaki bukan Islam mendakwa dirinya telah ditampar oleh individu tidak dikenali di sebuah kedai serbaneka di sini hanya kerana makan di tempat awam ketika bulan Ramadan.
Insiden itu tular di platform X apabila mangsa yang dikenali sebagai Elijah berkongsi video menunjukkan seorang lelaki berjubah hitam bertindak mengasarinya sebelum dileraikan oleh individu lain, dipercayai anak kepada lelaki berkenaan.
![]()
Video di bawah
https://x.com/bingbinge656/status/1901230465954291917
Lelaki Bukan Islam Dakwa Ditampar Kerana Makan di Tempat Awam, Polis Buka Siasatan
Menurut Elijah, kejadian bermula apabila suspek menegurnya dan meminta untuk melihat kad pengenalannya, meskipun dia sudah menjelaskan bahawa dirinya bukan seorang Muslim. Situasi menjadi tegang apabila lelaki itu bertindak menamparnya sebelum anak suspek segera campur tangan untuk menenangkan keadaan.
Elijah menyatakan rasa syukur kerana anak individu terbabit bertindak matang dengan memohon maaf bagi pihak bapanya. Namun, beliau tetap kecewa kerana merasakan dirinya tidak dihormati dan telah dikasari tanpa sebab yang wajar.
![]()
Susulan kejadian tersebut, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima laporan yang dibuat oleh mangsa di Balai Polis Tampoi. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.
Beliau turut mengutuk keras sebarang bentuk keganasan serta sikap prejudis yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu yang terlibat.
Kredit: X bingbinge656