Perbuatan mana-mana individu lelaki yang menggoda atau memikat isteri orang di Terengganu boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan tindakan undang-undang meskipun Mahkamah Persekutuan telah memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan berkaitan perkara tersebut.
![]()
Boleh Didenda RM5K Atau Hukuman Penjara Atau Kedua-duanya Sekali
Menerusi laporan Sinar Harian, Ketua Hakim Syarie Terengganu iaitu Datuk Wan Mohd. Zakri Wan Mohd memaklumkan bahawa perbuatan menggoda atau memikat isteri orang adalah satu kesalahan syariah mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001. Katanya, mana-mana lelaki yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Mana-mana lelaki yang terlibat dengan kesalahan itu boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Mahkamah juga boleh memerintahkan isteri itu kembali kembali kepada suaminya ini dimana mengikut hukum syariah lelaki atau perempuan ini kedua-duanya berdosa.
“Ia kerana isteri adalah milik suami, ada yang mengatakan isteri bukan harta suami tetapi dalam syariah isteri adalah milik suami dan suami berhak bertanggungjawab ke atasnya daripada A hingga Z,” jelasnya kepada media selepas menyampaikan Bantuan Pendahuluan Nafkah kepada 21 ibu tunggal pada Khamis.
Kesalahan Tersebut Juga Antara Punca Penceraian Berlaku Di Terengganu
Tambah Wan Mohd Zakri lagi, kesalahan tersebut juga telah menjadi antara punca kes penceraian yang direkodkan di Terengganu.
“Isu suami goda isteri orang ada di Terengganu tetapi bukan dalam bentuk pendakwaan, tetapi membabitkan penceraian. Ada antara alasan penceraian yang digunakan ialah kerana isteri telah mengikut orang lain keluar daripada rumah dan akhir sekali menuntut penceraian,”katanya.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan berkaitan menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang kerana ia tidak berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara, berkata panel hakim berpendapat seksyen itu bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Kredit: Sinar Harian