Setiap individu pastinya ingin memiliki bentuk tubuh yang langsing dan berat badan ideal.
Justeru, ramai sanggup mengambil jalan mudah demi mendapatkan tubuh idaman, termasuklah menggunakan produk pelangsingan tanpa mengambil kira kesan sampingan yang bakal dihadapi.
Dengan lambakan produk sedemikian di pasaran, ditambah pula dengan ‘testimoni’ daripada segelintir pengguna yang nampak begitu meyakinkan, maka tidak hairanlah ramai yang mudah terpedaya.
Bagaimanapun perkongsian seorang wanita di Twitter baru-baru ini nyata membuka mata ramai pihak, selepas dia mendedahkan kesan sampingan yang ditanggung oleh kakaknya sendiri yang menjadi salah seorang mangsa produk tersebut.
“My sister got diagnosed with Hepatitis sebab makan supplement dari produk tempatan. Sekarang dimasukkan ke hospital.”
Farah Farzana berkata, kakaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Nor pada mulanya mengambil produk pelangsingan badan sejak tiga minggu lalu selepas dicadangkan oleh seorang rakan.
“Kakak saya yang berusia 32 tahun tidaklah gempal sebaliknya dia hanya sedikit berisi. Cuma dia ada rasa kurang keyakinan diri. Ini kali pertama dia cuba slimming supplement selepas rakannya cadangkan.“
“Kakak consume produk tu dah tiga minggu. Hanya pada minggu lalu, dia mula tak sihat. Pada mulanya, dia demam tapi dia ingat demam biasa saja jadi dia teruskan saja makan produk tu.“
Kakak kepada Farah disahkan menghidap Hepatitis kesan daripada pengambilan suplemen pelangsing.
“Kemudian dia mengadu perutnya seperti bergas dan mula muntah-muntah. Kakak pergi klinik tapi doktor tak boleh kesan jadi mereka rujuk ke hospital.”
“Hasil ujian dan pemeriksaan yang dilakukan, Farah berkata kakaknya didiagnos menghidapi Hepatitis gara-gara pengambilan produk pelangsingan badan.”