Penyampai radio popular, Azad Jazmin John Louis Jefri atau lebih mesra disapa Pak Azad tampil memohon maaf secara terbuka susulan keterlanjuran beliau bersama beberapa rakan penyampai lain yang didakwa menyinggung sensitiviti masyarakat India.

Pak Azad Mohon Maaf Secara Terbuka, Akui Kesilapan Sentuh Sensitiviti Kaum India

Menerusi satu hantaran video di Instagram Story miliknya, Pak Azad, 49, mengakui kesilapan tersebut serta menzahirkan kekesalan atas tindakan yang dianggap tidak wajar itu. Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa dirinya sendiri mempunyai latar belakang darah keturunan India melalui bapanya yang memeluk agama Islam.

“Saya rakam video ini khas untuk semua sahabat, keluarga dan peminat saya daripada kaum India. Secara jujur, saya juga berdarah India, bapa saya adalah seorang India,” katanya.

Menurut Pak Azad, beliau menerima teguran daripada ahli keluarga yang menegaskan bahawa tindakan berkenaan adalah tidak sesuai dan sepatutnya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Ahli keluarga saya sudah menegur dan menyatakan perkara itu memang tidak patut berlaku. Salah tetap salah. Jadi, saya ingin mohon maaf kepada semua rakan-rakan yang berbangsa India. Saya betul-betul minta maaf,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan tersebut berlaku tanpa niat untuk memperlekehkan mana-mana kaum, sebaliknya mengakui mungkin ada pihak terlibat yang kurang memahami sensitiviti budaya tertentu, termasuk dalam kalangan rakan sekerja sendiri.

Terdahulu, kontroversi tercetus selepas tularnya sebuah video memaparkan gelagat tiga penyampai radio Era FM yang dikatakan mempersendakan tarian Kavadi, salah satu simbolik ibadah dalam perayaan Thaipusam.

Video tersebut mencetuskan kemarahan pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan yang mendesak permohonan maaf terbuka serta menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak stesen radio terlibat.

Susulan insiden itu, ketiga-tiga penyampai terlibat telah digantung tugas sementara siasatan dalaman dijalankan.

Kredit: Instagram azadsyazirqroses

 

[fbcomments]