Seorang peniaga petai yang tular baru-baru ini akhirnya mampu menarik nafas lega apabila hasrat untuk membiayai pembedahan mata isterinya yang tertangguh sejak dua tahun lalu kini dapat direalisasikan.
Pakcik Peniaga Petai Lega, Isteri Bakal Jalani Pembedahan Mata Secara Percuma
Mohd Noor Saad, 67, yang lebih dikenali sebagai ‘Pakcik Petai’, sebelum ini terpaksa menjaja ulaman tersebut bagi mengumpul dana untuk kos rawatan isterinya, Astiah Yaakob, 63. Bagaimanapun, selepas insiden membabitkan dirinya dengan anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang menjadi perhatian ramai, dia menerima bantuan daripada beberapa pihak termasuk hospital swasta yang bersedia menanggung kos pembedahan secara percuma.
Astiah dijadualkan menjalani pembedahan mata di sebuah hospital swasta pada bulan depan setelah mengalami masalah penglihatan akibat katarak. Beliau sebelum ini telah menjalani pembedahan pada mata kiri kira-kira enam tahun lalu, namun masalah yang sama mula menjejaskan mata kanannya dua tahun lalu sehingga menyebabkan kehilangan penglihatan sepenuhnya di sebelah mata tersebut.
Mohd Noor menyifatkan bantuan yang diterima sebagai satu rahmat besar buat keluarganya. Meskipun sebelum ini mereka pernah cuba mengumpul dana sendiri, kesempitan kewangan menyebabkan pembedahan isterinya terpaksa ditangguhkan beberapa kali. Selain bergantung kepada hasil jualan petai, Mohd Noor turut menerima bantuan sebanyak RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Anak pasangan ini, Siti Nor Hidayu Mohd Noor, 30, turut memaklumkan bahawa keluarganya dihubungi oleh empat hospital swasta yang menawarkan bantuan rawatan mata untuk ibunya, termasuk dari Kuala Lumpur. Setelah mempertimbangkan beberapa faktor seperti kemudahan dan kos pengangkutan, mereka memutuskan untuk memilih sebuah hospital swasta di Seremban. Pembedahan dijangka menelan kos sehingga RM4,000 dan dijadualkan berlangsung pada 10 April depan.
Astiah meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima dan mengakui bahawa selama ini dia sering berdoa agar dipermudahkan urusan pembedahan tersebut. Dengan bantuan yang diterima, dia kini berharap dapat kembali menikmati penglihatan yang lebih baik dan menjalani kehidupan dengan lebih selesa.
Kredit: Berita Harian