Pasangan tular yang membawa bayi mereka berpenyakit kronik menaiki motor dilaporkan telah sah menjadi suami isteri selepas mereka dinikahkan di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah oleh imam masjid, Muhammad Hazamer Mualim pada petang semalam.
Azlan Dan Hidayu Akhirnya Bergelar Suami Isteri
Memetik laporan Buletin TV3, Mohd Azlan Ishak, 36, dan Nor Hidayu Salim, 35, selamat diijab kabulkan dengan sekali lafaz selepas solat Asar pada petang Selasa.
Nor Hidayu yang memakai busana berwarna putih menerima sebentuk cincin emas dan mas kahwin bernilai RM1,000.
Imam Ucap Terima Kasih Kerana Beri Sokongan Kepada Pasangan Ini
Dalam pada itu, Muhammad Hazamer Mualim yang menikahkan pasangan tersebut juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memudahkan urusan mereka dalam menghalalkan hubungan.
Beliau turut menitipkan pesan agar masyarakat dapat memberikan sokongan kepada mereka dalam membina kehidupan baru bersama anak-anak.
“Mereka ini sudah berusaha untuk menghalalkan hubungan dan seharusnya kita menolong mereka dengan tidak berbicara yang buruk tentang status perkahwinan mereka ini.
“Selepas selesai urusan akad nikah ini, saya nasihatkan dia juga untuk selesaikan urusan nasab anaknya pula,” katanya.
Terdahulu, kisah pasangan yang tular membawa bayi mereka menaiki motosikal dengan alat bantuan pernafasan khas telah mendapat perhatian ramai.
Selain Perdana Menteri Malaysia yang menghulurkan bantuan, pasangan ini juga turut menerima sebuah kereta terpakai jenis Proton Persona bagi membolehkan mereka bergerak membawa anak-anak ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan.
Kredit: Buletin TV3