Seorang murid Tahun 2 mengalami kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan di hadapan sekolahnya pada petang semalam. Mangsa dilaporkan mengalami retak di bahagian belakang kepala serta beberapa luka di tubuh badan akibat insiden tersebut.

Pelajar Tahun 2 Alami Kecederaan Serius Selepas Dilanggar Kereta di Hadapan Sekolah

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang di Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 11 (1) itu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang melintas jalan dari arah laluan pejalan kaki di Blok C Apartmen Zon 6B menuju ke kawasan sekolah.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, mangsa telah dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita ketika melintas di laluan utama.

“Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian tersebut turut mencetuskan panik dalam kalangan orang awam yang berada di lokasi. Beberapa individu bertindak pantas mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah kenderaan dengan menterbalikkan kereta sebelum pihak bomba tiba.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7, Ismail Mustafa, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang dan segera bergegas ke tempat kejadian bersama sembilan anggota penyelamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan bahawa beliau telah melawat mangsa di Hospital Putrajaya sejurus mendapat maklumat mengenai insiden tersebut.

“Doktor juga telah memberi penerangan lanjut mengenai kecederaan dialami adik Hanafi dan mohon jasa baik sahabat-sahabat untuk mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan,” tulisnya.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]