Pemandu lori yang dipercayai menyebabkan kemalangan tragis hingga meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan disahkan mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Pemandu Lori Terlibat Nahas Maut Miliki Enam Rekod Jenayah Termasuk Kes Rogol

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan bahawa lelaki berusia 45 tahun itu pernah dikenakan hukuman penjara atas pelbagai kesalahan, termasuk satu kes rogol, satu kes berkaitan dadah dan empat kes mencuri di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Daripada semakan, suspek memiliki satu kesalahan jenayah rogol, satu kes dadah dan empat kesalahan curi. Kesemua kes itu telah dijatuhkan hukuman,” katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, semalam.

Mengulas dakwaan tular di media sosial berhubung pengambilan bahan terlarang, Ayob Khan menjelaskan bahawa hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia negatif daripada sebarang bahan terlarang termasuk ketum.

“Ujian air kencing terhadap suspek telah dilakukan dan keputusannya negatif. Tiada sebarang unsur pengambilan bahan terlarang seperti yang didakwa,” katanya lagi.

Tambah beliau, pihak polis juga sedang melengkapkan siasatan dengan mengambil keterangan lanjut daripada suspek serta menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap aspek perlanggaran membabitkan lori muatan batu yang dipandu lelaki tersebut.

Dalam insiden menyayat hati yang berlaku pada jam 8.50 pagi, Selasa, sembilan anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam maut selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh lori terbabit ketika dalam perjalanan pulang dari penugasan di Teluk Intan menuju ke Ipoh.

Daripada jumlah itu, lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital.

Kredit: Astro Awani

 

 

[fbcomments]