Bekas anggota polis iaitu Mohd. Ya’cob Demyati, 57, yang membunuh penyanyi Allahyarham Along Spoon dilaporkan dibebaskan dari Penjara Kajang pada Khamis, semalam.

Sebelum Ini Diperintah Hukuman Mati, Namun Diringankan Kepada Penjara Sepanjang Hayat

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Berita Harian, perkara tersebut disahkan oleh peguam, Che Muji Che Noh yang mewakili tertuduh ketika dihubungi semalam.

“InsyaAllah, dia bebas hari ini (semalam), 33 tahun (penjara) dari tarikh tangkap pada 4 Januari 2000, satu pertiga daripada cuti dan lain-lain bermakna dia dah serve (menjalani hukuman penjara) 33 tahun,” jelasnya.

Terdahulu Mahkamah Persekutuan di sini meminda hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap Mohd. Ya’acob kepada pemenjaraan 33 tahun. Tertuduh yang sebelum ini diperintah menjalani hukuman mati telah diringankan hukumannya kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya.

Fakta Kes

Dalam prosiding semalam, keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada pada hari kedua persidangan semalam selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Ya’cob yang merupakan anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Sabi’ul Malik, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada pukul 1 pagi, 26 Disember 1999.

Sebelum ini, Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999. Polis kemudian menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]