Polis akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata siasatan akan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.
Kita akan tengok dari sudut undang-undang selepas dia menjawab soalan-soalan.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid semalam mengesahkan polis telah memulakan siasatan berhubung laporan itu dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.