fbpx

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan lapan lelaki termasuk ADUN Gadek G. Saminathan, daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Perintah pembebasan itu dikeluarkan empat Mahkamah Tinggi berasingan yang mendengar kes mereka, selepas dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya bahawa Peguam Negara telah mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap kesemua tertuduh, mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, menggunakan aplikasi media sosial Facebook dan hadir pada majlis berkaitan kumpulan itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi sama melepas dan membebaskan ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaren dan pemandu teksi V. Balamurugan atas pertuduhan serupa.

Ini menjadikan 10 lelaki telah dibebaskan setakat ini manakala dua lagi iaitu penjaga stor, S.Thanagaraj dan ahli perniagaan, B.Subramaniam akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat untuk dibebaskan.

Kesemua mereka sebelum ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, sementara menunggu perbicaraan. Di bawah SOSMA mereka tidak dibenar diikat jamin.

Pada 21 Februari lepas, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataan medianya memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap 12 tertuduh, atas alasan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.


[fbcomments]