Seorang wanita berusia 27 tahun maut dalam kemalangan di Kampung Pengkalan, Alor Gajah, Melaka selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan merempuh tembok batu.
Kejadian yang berlaku pada Selasa itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dan suaminya sebelum berlakunya aksi kejar-mengejar di jalan raya.
Pertengkaran Berakhir Tragedi, Wanita Maut Motosikal Terbabas Ketika Dikejar Suami
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, siasatan awal mendapati pasangan tersebut menaiki motosikal secara berasingan sebelum insiden itu berlaku.
“Berdasarkan keterangan saksi, suami mangsa yang berusia 22 tahun dipercayai mengejarnya selepas berlaku pertengkaran. Ketika melalui selekoh tajam berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, motosikal mangsa gagal dikawal sebelum merempuh tembok batu,” katanya.
Mangsa, Nur Erdiyanah Samsul Maarif, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Difahamkan, ketika kejadian, wanita tersebut dalam perjalanan pulang dari Melaka Pindah ke Jalan Kasa Height.
Polis kini sedang menyiasat punca sebenar pertengkaran yang membawa kepada kejadian tersebut. Suami mangsa yang bekerja sebagai pengangkut barang telah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kredit: Majoriti Official