Pelakon jelita Malaysia iaitu Nora Danish akhirnya sah bercerai talak satu selepas desas desus mengenai keretakan rumah tangganya tersebar pada beberapa hari yang lalu.
Nora Danish Dan Nedim Nazri Sah Bercerai Talak Satu
Memetik laporan Harian Metro, Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie iaitu Abdul Fattah Datuk Kamarudin di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta kira-kira jam 8.34 malam tadi.
Walaupun pasangan ini sudah bercerai, namun Nora menegaskan bahawa mereka bersetuju untuk berpisah secara baik selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga bersama.
“Saya dan juga bekas suami saya, sudahpun mendapat persetujuan bersama untuk mengakhiri perkahwinan kami yang sudah kami dirikan selama tujuh tahun. Ia berakhir di sini.
“Yang paling penting apa yang boleh saya katakan tujuan kami pada hari ini adalah untuk membesarkan anak-anak kami dengan penuh kasih sayang dan positif. Jadi saya harapkan sangat pada anda semua mendoakan yang terbaik buat kami dan juga keluarga kami.
“Yang paling penting saya harap tiada teori-teori di luar sana mengenai perpisahan kami kerana kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua belah keluarga dan anak-anak kami,” ujar Nora ketika ditemui.
Nedim yang hadir tanpa peguam itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penceraiannya itu dan hanya mengunci mulut sepanjang pertemuan bersama media.
Sebelum ini, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif mendedahkan bahawa rumah tangga yang dibina bersama Nedim sejak 2017 mengalami pergolakan pada 29 April lalu. Namun, Nora tidak mahu mengulas dengan lebih terperinci tentang masalah yang dihadapi mereka agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak.
Sekadar info, Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki yangh bernama Mohamed Neqayl, 6.
Untuk rekod, Nora juga pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal, 15 sebelum disahkan bercerai pada 2008.
Kredit: Harian Metro