Musim PKP ini makin ramai yang ambil kesempatan menghias rumah dan bercucuk tanam.
Pokok Lidah Jin, snake plant atau nama saintifiknya, sansevieria trifasciata nampaknya semakin tular sekarang ni. Menjadi kegilaan.

Ia dikatakan sejenis tanaman indoor yang bagus kerana dapat membantu pengudaraan dalam ruang tertutup. Namun, pokok ini juga ada risikonya jika terdedah pada anak kecil dan haiwan peliharaan.
Berikut adalah penjelasan oleh Pusat Racun Negara tentang risiko tumbuhan viral ini.
Risiko menyimpan pokok ini di dalam rumah
Diketahui bahawa tumbuhan ini mempunyai bahan aktif SAPONIN.
Jika termakan dalam kuantiti yang banyak berkemungkinan boleh menyebabkan gejala-gejala ringan kepada manusia seperti muntah, cirit-birit dan ruam. Namun, ia mungkin menyebabkan gejala yang lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
Antaranya pengeluaran air liur yang berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah. Oleh itu, dalam keghairahan menanam pokok tular ini di rumah anda, pastikan anda BERWASPADA khususnya jika mempunyai anak-anak kecil yang mungkin bermain atau mematahkan pokok ini.
Mereka mungkin terdedah pada bahan aktif saponin yang berisiko menyebabkan keracunan.
Ahli kimia turut memberi pendapat
Seorang ahli kimia, Fatimah Salim juga menyatakan pendapat beliau tentang pokok ini.
Menurutnya, apa yang membimbangkan adalah tanah yang digunakan dan disimpan dalam rumah. Tanah akan menjadi tempat kondusif untuk kuman membiak.
Jadi, kena hati-hati bagi mereka yang ada masalah kesihatan, terutamanya yang rendah sistem imuniti.
Tak dinafikan tumbuhan ini memamg cantik dijadikan hiasan. Tapi kita perlulah menjaga dan meletakkannya di tempat yang selamat ya!