Sebelum ini, kawasan sekitar Pudu dikawal ketat pihak berkuasa apabila lokasi berkenaan dipasang pagar kawat duri.Difahamkan pemasangan pagar kawat duri dilakukan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan berkenaan dari D’Majestic Place hingga ke persimpangan Jalan Pasar/Jalan Pudu dan Jalan Landak.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan terhadap ratusan pekerja warga asing yang bekerja di Pasar Pudu.
Warga asing cuba melarikan diri
Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai warga asing ketika cuba melarikan diri dari kawasan diperketatkan kawalan di Jalan Pasar Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan dikatakan memanjat pagar kawat duri dipasang dan keluar ke sebuah pusat beli-belah berhampiran untuk mengelak menjalani ujian saringan Covid-19.
Pada masa sama, dua anggota polis mengejar lelaki berkenaan sambil menjerit meminta bantuan orang ramai menahan lelaki berkenaan.
Pengamal media yang berada di lokasi turut melihat kejadian berkenaan apabila ternampak lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan berlari memasuki pusat membeli-belah tersebut.
Berjaya ditangkap
Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditangkap oleh kakitangan pusat membeli-belah tersebut sebelum diserahkan kepada polis.
Difahamkan lelaki itu melarikan diri kerana bimbang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.