Siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah pusat asuhan dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), Bukit Mertajam terus dijalankan apabila polis telah mengambil keterangan daripada 12 individu setakat ini.

Polis Tahan Dua Wanita, 12 Individu Dirakam Keterangan Kes Kematian Bayi

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, individu yang dirakam keterangan tersebut terdiri daripada pekerja pusat asuhan, pemilik premis serta ibu bapa kepada bayi berkenaan.

Menurut beliau, pihak polis juga dijangka akan memanggil beberapa lagi individu dalam masa terdekat bagi membantu melengkapkan siasatan kes tersebut.

Sebelum ini, polis mengesahkan bayi lelaki tersebut, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, meninggal dunia pada jam 4.20 pagi Isnin selepas dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, bayi itu ditempatkan di pusat asuhan yang beroperasi 24 jam kerana ibunya yang bekerja sebagai jururawat bertugas pada syif malam ketika kejadian berlaku.

Dalam perkembangan sama, dua wanita berusia 22 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan. Kedua-dua suspek kini direman sehingga 16 Mac bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Kredit: BERNAMA

[fbcomments]