Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika berkunjung ke kawasan rekreasi Lata Jarum, Ulu Dong, Raub, Pahang, semalam.
![]()
Remaja Maut Terjatuh Ke Dalam Sungai Ketika Ambil Gambar di Lata Jarum
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Shahrul Ikwan Adam Hareez Islami ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat pada kedalaman kira-kira tiga meter berhampiran lokasi dia dipercayai terjatuh.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden tersebut pada jam 4.10 petang. Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub telah digerakkan ke lokasi kejadian.
![]()
Misi mencari dan menyelamat dijalankan sejurus pasukan bomba tiba di kawasan berkenaan, sebelum mayat mangsa berjaya ditemukan pada jam 5.45 petang.
Siasatan awal mendapati mangsa datang ke lokasi kejadian bersama tiga rakannya untuk beriadah sebelum dipercayai tergelincir ketika berada di tebing sungai sewaktu cuba merakam gambar. Kawasan berkenaan dikatakan curam dan menyukarkan operasi menyelamat, menyebabkan anggota bomba terpaksa menggunakan tali bagi mengangkat mayat mangsa ke atas tebing.
Mayat remaja itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Raub bagi proses bedah siasat.
Kredit: Buletin TV3