fbpx

Ikatan perkahwinan diantara bekas pemain bola sepak Malaysia iaitu Safee Sali dan Fitria Elfina Maharip yang dibina selama 11 tahun akhirnya berakhir dengan perpisahan selepas mereka sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah pada Selasa semalam.

Sah Cerai Talak Dua

Menurut sumber Sinar Harian, Hakim Syarie iaitu Mohd Fakhrurrazi Mahammad memutuskan demikian dalam prosiding pengesahan lafaz cerai selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.

Fitria Elfina selaku plaintif memaklumkan bahawa beliau menerima dua lafaz cerai menerusi pesanan suara (voice note) yang dihantar oleh Safee melalui aplikasi Whatsapp pada 11 Februari yang lalu.

“Pesanan secara berasingan dihantar ke telefon bimbit anak kami kerana telefon saya sudah dirampas. Lafaz itu adalah ‘saya lepaskan awak dan saya ceraikan awak’ dan ‘sekali lagi saya ikhlas saya ceraikan awak’,” katanya pada prosiding berkenaan.

Dalam pada itu, Safee juga memaklumkan bahawa beliau dengan niat yang jelas dan terang hati melafazkan cerai terhadap bekas isterinya melalui pesanan suara sebelum ini tanpa dipengaruhi oleh sesiapa yang memaksa melafazkan talak berkenaan.

“Kata-kata perceraian itu dibuat lebih daripada sekali supaya ‘terang’ dan saya turut menghantar pesanan suara itu kepada abang ipar yang juga wali bekas isteri,” jelas Safee.

Sebutan Semula Tuntutan Nusyuz Pada 30 April

Sementara itu, dalam mahkamah berasingan, sebutan semula kes tuntutan nusyuz oleh Safee sebelum ini ditetapkan pada 30 April depan.

Untuk rekod, Safee dan Fitria berkahwin pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]